Menjana Minda Terbuka (Generate Open Mind)


BAHASA MELAYU:

Demi menjana minda terbuka, kita harus punya keterbukaan akal fikiran dalam menerima dan menilai setiap perkara. Contoh paling mudah, istilah 'liberal' boleh dilihat dari sudut positif jika mahu. Kena kajilah apa itu 'liberal' menurut bahasa. Sama juga maksud 'kebebasan', jika digunakan untuk menterjemahkan perkara-perkara positif, pasti positif jadinya.

Sebab itu saya tidak mudah melenting apabila terbaca ada komen di fb menyatakan, "Islam itu sudah tersedia liberal." Kerana antara nilai Islam itu sendiri adalah 'kebebasan'. Iaitu, membebaskan insan daripada perhambaan sesama makhluk dengan memperhambakan diri hanya kepada Allah SWT semata-mata.

Contoh mudah kedua untuk membentuk minda terbuka. Dalam kita menonton cerita, tidak semestinya menonton cerita yang sudah berlabel kisah dakwah. Cerita yang menyantuni kisah-kisah inspirasi dan membangun semangat, bagus juga untuk ditonton dan dikutip nilai-nilai positif terkandung dalamnya.

Sama juga lagu-lagu yang menjadi halwa telinga, tidak semestinya yang berlabel nasyid. Boleh juga dengar lagu-lagu Ramli Sarip, M. Nasir dan sebagainya. Namun, secara peribadinya untuk hiburan berbentuk lagu, saya lebih suka mendahulukan lagu-lagu nasyid.

Kerana selain genre tersebut, kebanyakkannya hanya bertumpu pada seseorang yang dicintai seperti teman wanita dan sebagainya. Malahan, dikhuatiri hingga tahap memuja-muja dan memuji-muji makhluk. Sedang kita Muslim terdidik hanya memuja serta mengagung-agungkan Allah SWT.

Maka, demi menjana minda yang terbuka serta tidak jumud. Usah terlalu mudah menghukum sesuatu perkara itu negatif. Kemudian dalam berhujah dan menyata pandangan, usah sesekali mengguna senjata label melabel. Dikhuatiri boleh meretakkan hubungan persaudaraan dan masyarakat. Paling runcing, timbul pula isu takfir (mengkafirkan) sesama Muslim. Nauzubillahi mindzalik. Buang yang keruh, ambil yang jernih.

Sekian,

Wallahua'lam.
 
Khairul Adli Abdullah (KAA)
20 Zulkaedah 1435 | 15hb September 2014
 
ENGLISH:
 
In order to generate an open mind, we must have the openness of mind in receiving and evaluating each matter. The simplest example, the term of "liberal" can be seen from the positive side if you want. We need to study what is the 'liberal' meaning by language. Similarly, the meaning of 'freedom', if used to translate the positive things, positive sure it was.

That's why i do not easily get irritated when i came across some comments on fb stating, "Islam was already in place a liberal." Because the values ​​of Islam is 'liberty'. And, freeing people from the slave of human to the slave of Allah.

A second simple example to form an open mind. When we watch the story, not only watch a story that has been labeled the story of da'wah. The inspiring stories and developing the spirit, it's good to watch and  cited the positive values ​​contained therein.

Entertainment like music into our ear everyday, not necessarily only to listen labeled nasyid songs. We also can listen to the songs like Ramli Sarip, M. Nasir and others. But my personally opinion, for entertainment in the form of a song, i prefer putting nasyid songs first.

For other genres song, mainly focusing on the person who is loved like a girlfriend and so on. In fact, the level of concern to laud and praise the creature. As Muslim, we are educated to worship and glorify Allah.

So, in order to generate an open mind and not rigid. Do not be too easy to judge things negatively. Then in view of arguing and said, do not ever use the weapon of labeling. These can cracking brotherhood and community relations. Most acute, there is the issue of takfir among Muslims. Nauzubillahi mindzalik. Let go the negative, take the positive.

Thank you,

Wallahua'lam.

Khairul Adli Abdullah (KAA) 
20 Dhulkaedah 1435 | 15th September 2014 
http://www.adirul85.net/

Simpati Israel Hanya Dusta!


Mutakhir ini Israel cuba meraih simpati dunia dengan dakwaan serangan roket pejuang Al-Qassam adalah tidak berperikemanusiaan dengan mensasarkan roket ke kawasan awam Israel?? Adakah wajar dakwaan sedemikian rupa? Tatkala dilontarkan persoalan ini, saya turut sama buntu tidak mampu merungkai dan menangkis propaganda empati Israel.

Ternyata, Israel laknatullah memang pakar dalam berdusta memutar belit fakta. Maka, harus difahami dan diselami bahawa, pejuang Al-Qassam tiada pilihan objektif selain daripada berusaha mempertahankan diri dan kedaulatan tanahair mereka sehabis mungkin setakat apa yang terdaya dalam keadaan kecanggihan ketenteraan mereka yang belum setanding teknologi pihak musuh. Ia juga sebagai usaha pengusiran masyarakat awam Israel yang sebenarnya merupakan golongan penceroboh dengan menduduki tanah hak milik rakyat Palestin berdaulat secara haram semenjak bermulanya penaklukan Israel pada 15hb Mei 1948 yang dinamakan sebagai peristiwa Nakbah (malapetaka).

ISRAEL CENGKAM PALESTIN

Sedekad berlalu, tanahair kita, Malaysia menerima kemerdekaan daripada penjajah Biritish. Meskipun begitu, masih ada di kalangan kita yang mengalami penjajahan minda dan jiwa. Mengaku Muslim, tetapi cara hidupnya kebaratan yang kadangkala terpesong jauh daripada akar budi dan nilai Islam. Namun, cukup mendukacitakan, Palestin terus bermandi darah dicengkam rejim Israel yang langsung tiada nilai kemanusiaan. Pembentukan negara haram Israel, adalah berpunca daripada pihak British yang pernah menjajah Palestin pada tahun 1917.

Kemudian, disusuli perpindahan bangsa Yahudi secara besar-besaran yang dinaungi British dari tahun 1918-1947. Lalu, negara haram Israel ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1948 dengan bantuan Amerika Syarikat dan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Deklarasi Hak Asasi Manusia. Secara ringkas, begitulah kisah bermulanya peristiwa hitam dunia Islam dengan kejatuhan pemerintahan khalifah Islam terakhir, Uthmaniyyah pada tahun 1917 dan terlepasnya Palestin ke tangan musuh-musuh Islam.

PENCEROBOH YANG BIADAP

Golongan penceroboh dan pendatang haram itu tiada sebarang hak mempertahankan apa yang bukan hak milik mereka. Ibarat tetamu tidak diundang berlaku biadab melawan tuan rumah yang berhak ke atas rumahnya sendiri. Malahan, tetamu tidak diundang itu turut menyerang tuan rumah dengan pelbagai peralatan canggih seperti, jet pejuang, kereta kebal, kapal perang, peluru berpandu dan bom yang boleh disasarkan menurut sasaran dikehendaki. Wajarkah berlaku sedemikian rupa?? Tepuk dada tanyalah hati nurani kalian dengan akal fikiran yang waras dan luhur.

Lantaran itu, ada beberapa persoalan harus dibangkitkan kepada Israel:

1. Adakah wajar Hamas dan rakyat Palestin hanya berpeluk tubuh menjadi bacul?? Sedangkan para ulama' telah menyatakan, perjuangan mempertahankan Palestin daripada Israel itu wajib hukumnya meskipun syahid! Malahan, menjadi kewajipan umat Islam yang berada di luar Palestin turut sama berjuang mengangkat senjata ke sana jika berkemampuan atau pun menghulur sebarang bantuan kemanusian dan perubatan. Kerana di sana terletaknya sebuah tanah suci ketiga umat Islam, iaitu Masjid Al-Aqsa yang turut merupakan qiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Masjid Al-Haram.

2. Adakah adil menyamakan kemampuan senjata roket Palestin tiada panduan arah dan sasaran itu dengan peluru berpandu Israel?? Sedangkan Israel memiliki kemampuan mensasarkan ke mana sahaja sasaran dikehendaki. Dan mereka telah melakukan pelbagai siri serangan dan pengeboman dengan sengaja di kawasan awam penduduk Palestin!!

Maka, apa hak Israel menimbulkan isu kemanusiaan ke atas Palestin dengan dakwaan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu?? Malahan, Israel sudah sekian lama menyembelih, meratah dan mencetuskan jenayah perang ke atas nyawa anak-anak kecil, wanita, warga emas dan seluruh rakyat Palestin tidak berdosa. Dajjal Israel!!

Sekian,

Wallahua'lam.

Adli Abdullah
17 Ramadhan 1435 | 15hb Julai 2014
http://www.adirul85.net

Rujukan:
1. E-book Sejarah Kejatuhan Palestin Dan Kewujudan Israel - Dr. Mohd Roslan Mohd Nor

Signifikan Ekonomi Kita Dengan Negara Maju?


Melihat iklim ekonomi beberapa buah negara maju tertentu. Menjentik minda saya untuk membandingkan dengan tanahair tercinta kita, Malaysia. Khabarnya, ada di antaranya mempunyai kuasa membeli yang cukup rendah. Kerana merupakan negara termahal di dunia. Lantaran itu, adalah tidak wajar sekiranya rakyat Malaysia terlalu mudah berasa senang hati duduk goyang kaki sambil mengungkapkan ayat klise, "Syukur Malaysia masih aman." 

Mungkin ada pula yang akan menyanggah, "Gaji kakitangan awam di sana lebih tinggi dan mewah." Benar apa yang diperkatakan itu, sekiranya dibandingkan pendapatan mereka dari sudut ukuran nilai matawang. Namun, sekiranya dibandingkan dari sudut kesempitan kos sara hidup, saya merasakan tiada perbezaan yang ketara. Cuma negara kita, dari segi harga barangan, perubatan dan pendidikan mungkin belum semahal mereka.

BAKAL SETARA

Tidak mustahil kita bakal setara mereka. Kini Malaysia, berdikit-dikit sedang melalui proses peningkatan kos dan harga barangan. Harga minyak, tarif elektrik, tarif air melambung naik merupakan antara faktor kenaikan berganda harga makanan dan barangan. Maka, kita harus bersiap siaga dari sekarang, cuba meraih pendapatan sampingan. Mungkin boleh berniaga dengan mengedar produk tertentu. Atau yang berbakat menulis, mungkin boleh membina kerjaya berkonsep 2 dalam 1, sebagai penulis dan usahawan di penerbitan indie.

Cuma saya berasa sedikit musykil. Sekiranya semua mahu menjadi peniaga, siapa pula mahu menjadi pengguna? Kuasa membeli tidak mustahil akan merosot. Namun, setelah direnung kembali, ianya bukanlah suatu masalah. Setelah memperolehi keuntungan menjual produk syarikat lain, kemudian boleh beli produk syarikat lain pula. Maka, kuasa membeli mungkin tidak terjejas.

RAKYAT BOROS

Di kala merujuk soal pembaziran dan ketirisan perbelanjaan. Adalah tidak adil sekiranya diaudit sikap boros berbelanja (tanpa perancangan yang teliti) hanya kepada rakyat bawahan yang marhaen sahaja. Sedangkan sikap boros dan bermewah-mewahan pemerintah, tidak wajar sekiranya tiada siapa yang berani mengaudit, menegur dan membantah. Seharusnya pihak pemerintah turut mempamerkan tauladan yang baik kepada rakyat dalam soal berjimat cermat. 

Bukan hanya menyalahkan rakyat dengan menyatakan, "Bayar bil telefon bimbit tinggi boleh, bayar Astro mahal boleh, bayaran ansuran kereta beratus-ratus ringgit boleh. Kemudian mempertikaikan harga minyak naik, tarif utiliti naik, merungut wujudnya tol, pinjaman PTPTN, GST dan sebagainya." Saya bukan mahu menyalahkan sesiapa. Cuma kita harus bijak menegur siapa sahaja yang tersilap. 

Oleh itu, walau siapa pun kita, haruslah berani saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Tidak kiralah yang tersilap dan boros berbelanja itu siapa dan apa jua darjat mereka. Sama ada golongan bangsawan, konglomerat atau pun bukan. Sedangkan khalifah-khalifah Islam terawal, cukup tawaduk serta terbuka menerima sebarang teguran dari rakyat bawahan. 

Sekian,

والله أعلمُ بالـصـواب

'Dan Allah lebih mengetahui yang sebenar-benarnya.'

Adli Abdullah
15hb Mei 2014
http://adli-abdullah.blogspot.com/

Misteri Kehilangan MH370


Kehilangan sebuah pesawat Boeing 777-200ER dengan kod penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) daripada pengesanan radar lebih kurang sejam setelah berlepas pada sehari sebelum ulangtahun kelahiran saya, 8hb Mac 2014 masih diselubungi misteri. Pesawat tersebut membawa seramai 227 orang penumpang termasuk 12 orang anak kapal. Pakar-pakar penerbangan menyatakan sebuah alat pengesanan pesawat yang dinamakan transponder berkemungkinan dimatikan.

Misi mencari dan menyelamat (MDM) melibatkan 26 buah negara. Pasukan mencari dan menyelamat telah melakukan pencarian di beberapa kawasan Asia Tenggara. Setelah seminggu penemuan tidak berhasil, kawasan pencarian diperluaskan ke beberapa kawasan di Asia Tengah dan Asia Selatan. Atau lebih mudah dan tepat disebutkan Koridor Utara dan Koridor Selatan. Koridor Utara menjangkau dari utara Thailand ke Kazakhstan dan Turkmenistan, manakala Koridor Selatan meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Beberapa satelit yang bukan direka khas untuk perisikan dan MDM daripada agensi-agensi satelit tertentu turut diminta memberikan bantuan kepada pasukan MDM bagi mengesan pesawat tersebut. Namun, masih belum menghasilkan sebarang penemuan pesawat tersebut.

RAKYAT MALAYSIA BERKABUNG

Seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama dan bangsa yang tiada sebarang pertalian kekeluargaan mahu pun persahabatan bagaikan bersatu hati turut sama berkongsi kerisauan dan kebimbangan bersama seluruh ahli keluarga penumpang serta anak kapal dengan berdoa demi penemuan pesawat MH370.

Upacara solat hajat telah dilaksanakan oleh berbagai pihak di kalangan beragama Islam. Manakala bagi penganut agama lain melakukan upacara doa menurut cara agama masing-masing.

KEMUNCULAN TEORI

Pelbagai teori dan andaian muncul dari kalangan pengamal-pengamal media sosial dan media maya. Ada yang berteori ini adalah konspirasi Amerika Syarikat (AS) sekadar mencari kesempatan memasuki perairan negara-negara Asia terutamanya China demi agenda tersembunyi, ada yang berteori ini angkara Russia berkaitan krisis Ukraine bagi mengugut AS agar tidak campur tangan, ada pula yang berteori seakan filem perisikan terkenal James Bond dan Mission Impossible dengan menyatakan bahawa pesawat tersebut terbang menuju ke Kazakhstan secara halimunan dengan mematikan transponder dan mengekori rapat bayang-bayang sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) yang menuju ke Barcelona secara kebetulan pada saat itu melalui laluan di mana pesawat MH370 hilang daripada pengesanan radar tentera.

Termasuklah teori dengan dakwaan yang tidak munasabah oleh sebuah media United Kingdom (UK) bagi mengaitkan ketua juruterbang pesawat tersebut, iaitu Kapten Zaharie Ahmad Shah dengan sebuah parti pembangkang dan seorang pemimpin tertinggi parti tersebut. Dakwaan tersebut bakal menimbulkan persoalan, adakah juruterbang peribadi Perdana Menteri, Kapten Norudin Abd. Majid yang merupakan rakan karib Kapten Zaharie turut sama akan terkait??

Tidak kurang juga teori yang agak mendukacitakan mengaitkan kehilangan tersebut dengan puak Islam tertentu. Apabila muncul dakwaan sebegini, suka saya mengambil sikap mencurigai kebenarannya terlebih dulu. Kerana khuatir terperangkap dengan permainan sekolompok pihak barat yang gemar mengaitkan Islam dengan keganasan. Sebagai contoh, keganasan dan letupan yang berlaku di Mesir, sehingga kini saya masih tidak percaya dengan dakwaan bahawa ia angkara gerakan Ikhwanul Muslimin (IM). IM merupakan gerakan Islam terbesar di dunia yang cukup terkenal dengan sifat keterbukaan dan kesederhanaan.

SIMULATOR DISIASAT

Apabila komputer simulator penerbangan Kapten Zaharie menjadi antara bahan penyiasatan, bikin saya rindu dengan kenangan mengujakan suatu ketika dulu bermain permainan komputer Microsoft Flight Simulator bersama anak-anak saudara saya menggunakan komputer desktop gaming (berkuasa pertengahan) saya yang telah dijual. Memadam simpanan permainan (save games) menjadi suatu kelaziman. Bukanlah suatu perkara yang luar biasa.

Termasuklah persoalan landasan-landasan pelik yang menjadi pilihan Kapten Zaharie dalam permainan simulator penerbangan milik beliau. Menurut mantan Ketua Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain mengakui bukanlah suatu perkara yang luar biasa bagi mana-mana juruterbang memilih landasan-landasan pelik dalam permainan simulator tersebut dan ia sekadar suka-suka sahaja. Kerana di alam realiti adalah sesuatu yang mustahil bagi mereka melakukannya.

Bermakna permainan simulator penerbangan belum tentu dapat membuktikan apa-apa. Cuma ianya sebuah permainan video/komputer yang agak rumit dan mencabar. Dan mendedahkan kita orang awam betapa sukarnya untuk menerbangkan sesebuah pesawat. Tabik hormat buat Kapten Zaharie dan para juruterbang sekalian!

IKTIBAR KEHILANGAN

Saya amat bersimpati dan menumpang perasaan duka menimpa ke atas semua ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370. Ketahuilah apabila ALLAH SWT menguji, DIA mahu kita meminta serta tidak melupakanNYA pada tiap saat dan ketika. Teruskan berdoa agar segera hadirnya berita gembira. Turut berdoa agar dikurniakan dariNYA kesabaran, ketabahan dan sifat redha dalam sanubari kalian sebagai persediaan sekiranya menerima berita sebaliknya.

Kedua, saya amat berharap agar pihak MAS menerima kehilangan pesawat tersebut sebagai teguran daripada ALLAH SWT agar mencontohi syarikat penerbangan milik Islam yang lain seperti Saudi Arabian Airlines (SAA) yang mengundang keselamatanNYA dengan memasang audio bacaan doa naik kenderaan semasa pesawat hendak berlepas. Secara tidak langsung memberi peringatan kepada para penumpang beragama Islam untuk turut membacanya. Seterusnya, mengundang keredhaanNYA dengan menyediakan ruang khas solat, menetapkan kod berpakaian para juruterbang dan anak kapal yang menutup aurat dan mengharamkan arak. Begitulah pengalaman saya semasa menaiki penerbangan SAA beberapa tahun yang lalu.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
20hb Mac 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com/

Anti-Hadith: Menimbul Kecelaruan Ummah


Kebelakangan ini, munculnya kembali seorang pemikir kontroversi yang menolak hadith-hadith Nabi SAW secara total dan hanya bergantung semata kepada Al-Quran dalam mengamalkan Islam mengikut tafsirannya sendiri. Atau lebih mudah dilabelkan sebagai golongan anti-hadith. Tidak perlulah saya menyebut namanya yang sudah menjadi trending di alam maya. Kerana tidak berminat melonjakkan lagi popularitinya dengan marak menjulang.

Pada telahan saya, beliau seakan merasa dirinya lebih mulia dan tinggi darjatnya daripada Nabi SAW kerana menyatakan kesalahan umat Islam adalah mendewa-dewakan Nabi SAW dengan syahadah kedua. Ini adalah salah satu bentuk penghinaan dan kebiadaban ke atas Baginda SAW. Isu ini membuat saya teringat seketika kisah pada tahun 2012, umat Islam dikejutkan dengan sebuah filem pendek yang menghina Nabi SAW yang kita cintai terbitan seorang penganut Kristian kelahiran Mesir yang merupakan penduduk Amerika Syarikat (AS). Ianya menyemarakkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Hingga tercetusnya serangan oleh segelintir Muslim ke atas Kedutaan AS di Libya.

KERAGUAN DITIMBULKAN

Golongan anti-hadith tersebut turut menimbulkan rasa ragu-ragu dengan kesahihan hadith-hadith yang ada sehingga kini. Mungkin juga beliau berasa ragu-ragu akan kesahihan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat yang kemudian diwarisi oleh para ulama' hadith yang tulus memelihara mesej dan pedoman warisan Nabi SAW sebagai rujukan kedua dalam menterjemahkan Al-Quran dan Islam itu sendiri secara terperinci dan tepat. 

Seandainya benarlah keraguan beliau ini, pastinya wujud banyak percanggahan ketara akan segala sabda Baginda SAW dengan wahyu ALLAH SWT iaitu Al-Quran. Namun, tiada pembuktian yang benar mampu menyanggahi kebenaran hadith-hadith yang bertaraf sahih mahu pun mutawatir. Meskipun ia berhujah, segala-galanya dusta semata-mata. Sementelahan, pelbagai contoh yang boleh diambil bagi membuktikan tiadanya kesilapan dalam periwayatan hadith-hadith Nabi SAW yang sahih. Baginda SAW pernah menyebut tentang tanda-tanda kiamat yang bakal berlaku di masa hadapan. Antaranya hadith riwayat Imam Muslim menyebut tentang pengembala kambing yang miskin menjadi kaya raya dan berlumba-lumba membina bangunan-bangunan yang tinggi, dalam riwayat Abu Daud pula menyebut manusia berlumba-lumba membina dan memperindahkan masjid-masjid. Dan banyak lagi hadith-hadith lain tentang bayangan masa depan.

Termasuklah pelbagai penemuan sains moden yang di antaranya merujuk kepada hadith riwayat Imam Bukhari yang menyebut berkenaan proses kejadian manusia daripada air mani, segumpal darah dan seterusnya. Sehinggakan beberapa orang saintis barat memeluk Islam kerana menyedari akan mukjizat Al-Quran dan kebenaran bahawa Muhammad SAW itu Rasul akhir zaman. Maka, mana mungkin banyak kenyataan-kenyataan futuristik yang ada di antaranya telah pun terbukti berlaku tidak tulen dan tidak sahih daripada Nabi SAW. Kerana segala penyataan Nabi SAW bukanlah berlandaskan hawa nafsu, tetapi bersumberkan wahyu ALLAH SWT.

RESOLUSI MENANGANI

Saya amat bersetuju dengan kenyataan akhbar Ust. Emran Ahmad bahawa 'ilmuan yang layak untuk berdialog dengan golongan anti-hadith adalah Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang mempunyai kepakaran dalam bidang hadith dan sirah. Manakala untuk berdebat adalah Ust. Hasrizal Jamil yang mempunyai kemampuan dalam bidang psikologi dan sejarah. Cuma saya ingin mencadangkan seorang lagi 'ilmuan yang turut saya merasakan sesuai, iaitu Dr. Danial Zainal Abidin yang mempunyai kepakaran mengaitkan Al-Quran dan Hadith dengan fenomena serta penemuan sains. Kerana golongan sebegitu mungkin boleh dipengaruhi dengan hujah-hujah menurut logik akal.

Kedua, saya mencadangkan agar para 'ilmuan menimbulkan sebuah persoalan. Bagaimana tuan meyakini ketulenan Al-Quran sedangkan tuan memperlekehkan seorang insan istimewa iaitu Muhammad SAW yang terpilih menjadi utusan ALLAH SWT dengan menerima wahyu Al-Quran? Maka, siapakah yang bertanggungjawab memastikan ketulenan Al-Quran? Mustahil jawapannya para ulama'. Sedangkan tuan telah menyatakan bahawa para ulama' adalah kasta paderi? Ibarat mempercayai sesuatu berita,  tetapi tidak mempercayai penyampai beritanya. Sesungguhnya, pemikiran golongan anti-hadith amat merumitkan dan membingungkan. Ianya agak sukar untuk dirungkai.



Cuma persoalannnya, sejauh mana keberkesanan berdialog dan berdebat dalam menangani golongan anti-hadith tersebut. Dr. Abd. Halim El-Muhammady mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pernah berdialog dengan beliau pada tahun 1986 dan berjaya mematahkan segala hujahnya. Namun, kelihatannya beliau masih tidak mahu berubah dan menerima akan hakikat kebenaran. Walau bagaimana pun, tiada salahnya untuk berusaha. Kerana Islam adalah agama nasihat dan para pendakwah bukannya penghukum, tetapi penasihat dan penyampai risalah dakwah yang tidak mengenal erti putus asa. Tidaklah seberapa onak dan liku pendakwah masa kini seandainya dibandingkan dengan pahit maung dakwah para Rasul.
BUKAN MENDABIK DADA
Segala telahan saya ini bukanlah bermaksud saya mahu mendabik dada dan berasa diri ini layak untuk berdialog mahu pun berdebat dengan golongan anti-hadith tersebut. Saya bukanlah seorang mufti, ulama' mahu pun ustaz yang berkelayakan untuk berdepan dengan golongan sebegitu. Saya sekadar ingin menegaskan pendirian dan pegangan saya bahawa Al-Quran dan Hadith adalah bagai aur dan tebing saling lengkap melengkapi. Dan bagaikan isi dan kuku yang tidak boleh dipisahkan meskipun ada yang cuba menggoyahkan keyakinan ini.
Sekian,
Wallahu'alam.
Adli Abdullah
20hb Februari 2014
Rujukan Hadith:
1. Arba'in An-Nawawiyah (Hadith 40) - Imam Nawawi RH.

2. Bulughul Maram - Ibnu Hajar Al-Asqalani.            

Hobi Itu Alternatif Pernikahan?


Pernikahan merupakan institusi suci bagi mencegah setiap insan daripada melakukan segala bentuk penzinaan yang menjijikkan, sebarang hubungan terlarang dan sebagainya. Sementelahan di zaman ICT yang serba mencabar kini, golongan OKU turut tidak terlepas daripada ancaman godaan zina mata dan pornografi yang membinasakan.

Sesungguhnya, pernikahan merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW bagi mengembangkan zuriat keturunan anak cucu Nabi Adam A.S. Malah, Baginda SAW pernah bersabda, "Pernikahan itu sunnahku. Sesiapa yang membenci sunnahku bukanlah di kalangan umatku." (HR Al-Bukhari)

Apa yang perlu difahami, asas utama dalam sesebuah pernikahan adalah berada di atas landasan taqwa demi menyalurkan nafsu berkeinginan untuk berpasangan melalui saluran yang benar. Kerana fitrah setiap insan adalah mahukan pendamping dan teman di sisi dalam menyelusuri liku dan onak dalam kehidupan. Tidak kira ketika senang mahu pun susah sentiasa bersama. Meskipun badai datang melanda, kesetiaan kekal bertakhta selamanya.

MATLAMAT PERNIKAHAN

Peranan utama yang wajib dipegang oleh setiap pasangan adalah soal tanggungjawab. Dalam masa yang sama, seseorang yang bergelar suami/isteri adalah merupakan penghibur hati kepada pasangannya. Penghibur di kala duka serta penyuluh jalan tika tersungkur dalam kegelapan. Bermakna, pernikahan itu bukan sekadar sunnah. Tapi juga merupakan mukaddimah untuk menempa kebahagiaan dan kejayaan dalam kehidupan. Maka saya berpandangan bahawa, penanda aras kebahagiaan sesebuah rumah tangga itu boleh diukur berdasarkan produktiviti dalam bidang kerjaya yang diceburi oleh setiap pasangan.

Namun, saya sendiri tidak pasti apakah hukum pernikahan bagi golongan OKU seperti saya? Adakah haram atau pun makruh? Wallahu'alam. Justeru, kepada sesiapa yang mungkin ada menaruh harapan terhadap saya, lebih baik lupakan saja. Kerana hidup bersama insan seperti saya tidaklah semudah yang disangka. Setiap pasangan bernikah pastinya mengidamkan kebahagian yang hakiki. Bukanlah kesengsaraan yang dihajati. Mungkin kerana itulah keluarga saya sendiri tidak berapa menggalakkan saya untuk bernikah dan berumah tangga.

ALTERNATIF PERNIKAHAN

Bagi yang tidak berkemampuan bernikah, Nabi SAW memberikan panduan dan alternatif untuk meredakan nafsu membuak-buak untuk berpasangan melalui sabdanya, "Wahai anak muda, bernikahlah. Sesiapa yang mampu bernikah, bernikahlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj (kemaluan). Sesiapa yang tidak mampu bernikah, hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)." (HR Al-Bukhari). Berdasarkan dalil tersebut, ianya adalah pedoman dalam mengatasi gelojak nafsu terhadap jantina yang berlainan bagi yang belum bernikah.

Namun, tentang penghibur hati yang telah saya sebutkan tadi, saya berpandangan bahawa penggantinya adalah dengan memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat melebihi mereka yang telah bernikah (setelah amalan-amalan fardhu terlaksana). Iaitu dengan banyak berzikir, bertasbih, bertahmid, membaca Quran dan sebagainya. Kerana cabaran jiwa yang perlu dihadapi oleh golongan yang masih bujang adalah jauh lebih hebat. Dan kerana adrenalin mereka yang masih bujang adalah tidak setenang mereka yang telah bernikah.

Kedua, boleh juga melayani apa saja hobi diminati yang memberikan kepuasan selagi mana tidak bertentangan dengan aqidah, syari'at serta tidak menjerumus kepada pembaziran. Maka secara berterus terang, hobi saya adalah dengan membeli gajet-gajet canggih terbaru. Itu pun dengan syarat bagi menggantikan gajet-gajet lama yang telah rosak atau pun yang telah dihadiahkan kepada insan tersayang dalam keluarga.

MEMILIH GAJET

Kini, saya sedang merancang untuk memilih gajet terbaru bagi menggantikan telefon pintar saya Blackberry, yang sudah membenihkan pelbagai masalah yang kronik. Pilihan pengganti yang dihajati adalah telefon pintar yang menggunakan sistem operasi (OS) Android. Namun, saya belum pasti untuk memilih jenama dan model mana. Antara pilihannya,

1. Honami (Sony Xperia Z1).
2. Google Nexus 5.
3. Samsung Galaxy Note 3.
4. HTC One.

Penekanan utama saya dalam memilih gajet adalah pemprosesnya mestilah empat teras (quad core), dan kamera berprestasi terbaik untuk rakaman video bagi menghasilkan vlog berdefinisi tinggi (HD). Berdasarkan tip yang saya temui dalam menilai kualiti kamera yang terbaik bukan hanya berdasarkan piksel yang tinggi. Tapi juga berdasarkan keupayaan sistem penstabilan yang mengurangkan kesan gegaran ke tahap minima semasa menangkap gambar dan merakam video. Kerana itu adalah antara faktor bagi menghasilkan gambar dan video yang jelas serta ketajaman (sharpness) yang terbaik.

Walau bagaimana pun, saya ingin tunggu beberapa bulan saja lagi dengan harapan ianya akan turun kepada harga yang berpatutan. Kerana dalam memilih gajet, bukan hanya keupayaan perkakasannya (hardware) dan perisiannya (software) yang menjadi ukuran. Tapi perlu diukur berdasarkan kemampuan kewangan sendiri serta tidak menjejaskan keutamaan lain dalam kehidupan. Bak kata pepatah, ukurlah baju di badan sendiri. Dan elakkan pembaziran.

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
31hb Disember 2013
http://adli-abdullah.blogspot.com
http://www.facebook.com/adli.abdullah


- Posted using BlogPress from my iPod 5

Kecenderungan Bertelagah Daripada Musyawarah?


Saya amat berasa dukacita akan fenomena umat Islam yang sering bertelagah dan saling tuduh menuduh sesatnya aqidah sesama sendiri dari dahulu kini dan selamanya. Permasalahan ini bagai tiada pasang surutnya. Bertali arus semenjak dari kemunculan golongan Khawarij tatkala tercetusnya tragedi pembunuhan salah seorang sahabat Nabi SAW, iaitu Saidina Uthman Bin Affan R.A. angkara puak radikal berkenaan.

Dalam pada itu, setelah saya menelaah dan memerhati gelagat umat Islam masa kini, maka saya ingin menyeru pada diri saya sendiri dan semua pihak agar bermuhasabah diri. Berdasarkan fenomena tidak sihat itu, saya berpandangan, seandainya kita terlalu mudah menghukum aqidah saudara kita yang lain, nescaya tidak mustahil mereka turut sama mudah menghukum aqidah kita sendiri. Ianya pasti tidak berkesudahan bagai cermin yang memantul balik kepada diri kita sendiri. Nabi SAW pernah berpesan, "Sesiapa yang menuduh seseorang itu kafir atau musuh ALLAH, tetapi ia tidak begitu. Maka tuduhan tersebut kembali kepada yang menuduh." [Riwayat Al-Bukhari & Muslim]

Beberapa contoh yang berlegar di sekitar umat Islam di Malaysia yang makmur ini:

PERTAMA: Tatkala adanya saudara kita yang mencedok rahsia atau pandangan daripada Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab - yang tidak betentangan dengan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), pasti ada yang menghukum bahawa diri mereka adalah Wahabi sesat dan pelbagai lagi label-label negatif yang dilemparkan.

KEDUA: Tatkala adanya saudara kita yang mencedok rahsia atau petikan kata-kata seseorang tokoh tertentu daripada kalangan penganut Kristian dalam perihal muamalat dan motivasi - yang tidak bertentangan dengan batasan iman dan syariat. Pasti ada yang menghukum bahawa mereka adalah pendokong ajaran Kristian dan pelbagai lagi label-label negatif yang dilemparkan.

KETIGA: Tatkala adanya saudara kita yang mencedok rahsia atau petikan kata-kata seseorang tokoh tertentu daripada kalangan penganut Buddha dalam perihal muamalat dan motivasi - yang tidak bertentangan dengan batasan iman dan syariat. Pasti ada yang menghukum bahawa mereka adalah pendokong ajaran Buddha dan pelbagai lagi label-label negatif yang dilemparkan.

KEEMPAT: Tatkala adanya saudara kita yang mencedok rahsia atau petikan kata-kata seseorang tokoh tertentu daripada kalangan penganut Syiah dalam perihal muamalat - yang tidak bertentangan dengan batasan iman dan syariat. Pasti ada yang menghukum bahawa mereka adalah pendokong ajaran Syiah dan pelbagai lagi label-label negatif yang dilemparkan.

Sesungguhnya Islam adalah agama atau pun cara hidup yang menganjurkan bermusyawarah dalam setiap permasalahan. Sama sekali bukan bertelagah. ALLAH SWT telah menyatakan, “Maka disebabkan rahmat dari ALLAH-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.” [Ali-‘Imran: 159]

Justeru, usahlah sewenang-wenangnya terlalu mudah menghakimi aqidah saudara-saudara kita dan bertelagah sesama sendiri. Kerana, “orang-orang mukmin itu bersaudara.” [Al-Hujurat: 10]

Sekian,

Wallahu'alam.

Adli Abdullah
24hb November 2013
http://www.facebook.com/adli.abdullah

Like Blog Ini!

Vlog

Deklamasi Puisi

Filem Pendek

Ikuti Saya

Ikuti Blog Ini!

Tweet Bersama Saya

Laman Facebook Saya

Bicara Santai

Catatan Popular

Pautan Pilihan









2010 Khairul Adli Abdullah, All Right Reserved. Dikuasakan oleh Blogger.

Jumlah Paparan Halaman

Statistik Pengunjung